Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah pada 8/7/2013 di Parlimen Malaysia
Dalam sesi menjawap soalan- soalan perbahasan titah ucapan DYMM YDPA, Menteri Pendidikan II YB Dato Seri Idris Bin Jusoh telah memberi penjelasan mengenai beberapa perkara termasuk isu melibatkan latihan untuk guru-guru. Saya dapat mencelah penjelasan beliau untuk menanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh guru- guru interim di SJKT di seluruh negara. Terdapat lebih kurang 200 guru interim di SJKT yang menunggu tawaran untuk menjalani latihan perguruan. Mereka ini menunggu sekian lama tetapi tidak ada apa-apa maklum balas daripada pihak kementerian. Mereka merayu kepada kerajaan supaya diberi peluang menjalani latihan perguruan kerana masa hadapan mereka tidak terjamin.
Setakat ini tidak ada apa-apa maklumbalas yang positif daripada pihak kerajaan berhubung dengan perkara ini. Saya meminta Menteri Pendidikan samada perkara ini dibawa kepada perhatian kabinet dan langkah-langkah yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini. Menteri Pendidikan pula menjawab bahawa ini adalah soalan spesifik mengenai sesuatu isu dan memerlukan notis untuk menjawab. Saya agak terpegun dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan kerana ini bukan perkara baru. Beliau tidak dapat memberi jawapan kerana mungkin isu ini dianggap remeh dan tidak penting kerana melibatkan SJKT.
Perkara yang lebih menyakitkan hati ialah peranan MIC dalam menyelesaikan masalah guru- guru interim SJKT ini. Presiden MIC Dato Seri Palanivel telah membuat beberapa kenyataan media bahawa masalah ini akan dibawa kepada perhatian kabinet. Beliau juga mencadangkan supaya guru- guru yang tidak layak diberi kursus khas 6 bulan sebelum menjalani latihan perguruan. Bagi guru-guru yang layak pula terus diserapkan dalam program latihan perguruan. Inilah janji yang diberikan oleh Dato Seri Palanivel kepada guru- guru interim SJKT.
Memandangkan Menteri Pendidikan tidak dapat menjawab soalan yang saya bangkitkan, saya percaya Presiden MIC itu tidak pernah membawa isu ini untuk dibincangkan dalam kabinet. Oleh yang demikian, ini adalah satu lagi pengkhianatan yang dilakukan MIC kepada guru- guru interim SJKT. 'Harapkan pagar, pagar makan padi' pepatah ini amat sesuai untuk menggambarkan situasi guru-guru interim SJKT yang menaruh penuh harapan terhadap pimpinan MIC.
Disini saya mahu mendesak Dato Seri Palanivel bercakap benar samada beliau telah membawa perkara ini kepada perhatian kabinet ataupun tidak. Jika tidak, bila beliau bercadang berbuat demikian. Jika beliau telahpun membawa isu ini kepada perhatian kabinet, apakah tindakan- tindakan yang telah dan akan diambil untuk menangani isu ini?
No comments:
Post a Comment