Kenyataan Media YB V.Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak pada 4 Mei 2014 di Batu Gajah
Kemiskinan di kalangan kaum India bukanlah satu fenomena baru. Masalah ini wujud puluhan tahun sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Selepas kemerdekaan dicapai, kerajaan Barisan Nasional (Perikatan ketika itu) termasuk MIC tidak mempunyai satu dasar yang konkrit untuk membantu masyarakat India yang miskin.
Dalam tahun-tahun di antara 1970 hingga 1975, taraf hidup kaum India terutamanya golongan penoreh getah yang menetap di ladang-ladang telah merosot dengan teruk sekali. Ini adalah kerana pada ketika itu upah pekerja-pekerja ladang itu amat tergantung kepada harga pasaran getah.
Pada masa itu, terdapat sedikit peningkatan dalam harga getah iatu sebanyak 1.8% setahun. Ini sepatutnya telah menambah baik kedudukan ekonomi domestik kaum India. Tetapi peningkatan dalam harga getah itu telah ditelan oleh indeks harga pengguna yang kian meningkat dan mencecah 7.3% setahun. Oleh kerana indeks harga pengguna membengkak secara begitu mendadak, ini telah memberi kesan yang negatif kepada ekonomi ataupun taraf hidup golongan ini.
Pendapatan boleh guna golongan pekerja ladang ini terus merosot. Secara keseluruhannya, ini telah menjejaskan ekonomi kaum India dan kadar kemiskinan pula terus meningkat. Kehidupan kaum India ketika itu tidak menentu kerana pendapatan mereka amat bergantung kepada harga pasaran dunia untuk komoditi getah.
Kedudukan ekonomi kaum India amat buruk pada tahun 1975. Ada pelbagai sumber yang boleh dirujuk dan dijadikan sebagai bahan bukti bahawa kaum India telah mengalami keparahan ekonomi yang teruk ketika itu. Kenapa kerajaan Barisan Nasional tidak membuat apa-apa dasar untuk membantu kaum India yang terjerat dalam kegawatan sektor perladangan terutamanya ladang-ladang getah?
Pemimpin-pemimpin MIC ketika itu tidak mencari satu jalan penyelesaian yang munasabah untuk membantu kaum India yang merana. Perkara ini harus diperakui oleh semua kerana memang tidak wujud apa-apa dasar khas yang dirangka untuk membantu kaum India yang miskin di negara ini. Kerajaan Barisan Nasional dan MIC sepatutnya telah membuat satu pelan perancangan ekonomi yang komprehensif untuk membantu kaum India yang miskin dan miskin tegar ketika itu.
Pada masa yang sama, pengangguran di kalangan kaum India juga semakin meningkat iaitu dari 11% pada tahun 1970 kepada 12.2% pada tahun 1975. Peningkatan ini boleh dianggap paling tinggi jika dibandingkan dengan kaum Melayu dan kaum Cina. Kerajaan Barisan Nasional juga gagal menyelesaikan masalah pengangguran kaum India yang menjejaskan lagi kedudukan sosio-ekonomi mereka.
Diskriminasi terhadap kaum India berlaku di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lama tanpa pembelaan oleh MIC yang hanya mementingkan kedudukan politiknya dalam komponen Barisan Nasional. Tidak salah kalau disebut pemimpin-pemimpin MIC telah lama menjual nasib kaum India kepada UMNO semata-mata untuk jawatan, pingat dan kedudukan politik mereka.
Ada rekod kajian yang membuktikan bahawa pada tahun 1970, 39% dari kalangan keluarga kaum India jatuh di bawah paras garis kemiskinan. Peratusan ini adalah amat tinggi, tetapi pemimpin-pemimpin MIC yang buta telah membiarkan kaum India menderita tanpa mengambil langkah-langkah yang sepatutnya. Jika usaha yang konkrit telah diambil ketika itu, sudah pasti Kaum India di negara ini lebih maju dan berdaya saing dengan kaum-kaum lain pada hari ini.
Rakyat Malaysia terutamanya kaum India tidak boleh memaafkan pemimpin-pemimpin MIC yang tidak peka dan cuai dalam menangani masalah sosio ekonomi ketika itu. MIC telah gagal merangka strategi-strategi ekonomi khas untuk membantu kaum India yang miskin dalam Rancangan Malaysia Ketiga di bawah Dasar Ekonomi Baru. Kaum India telah dilupakan dan diabaikan sama sekali dalam program-program pembangunan ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan.
UMNO dengan kuasa dominan itu telah menindas kaum India dari dahulu sehingga ke sekarang. Kegagalan kaum India dalam perkongsian ekonomi negara adalah berpunca daripada dasar diskriminasi UMNO dan kecuaian MIC dalam menangani masalah ini.
Masalah kemiskinan di kalangan kaum India perlu diselesaikan dengan segera. Kerajaan harus merangka dasar-dasar yang lebih progresif dan sistematik untuk meningkatkan keupayaan ekonomi kaum India di negara ini. Pakar-pakar ekonomi negara kita harus diperah minda untuk menformulasikan kaedah-kaedah atau pendekatan-pendekatan ekonomi baru untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan silam. Jika kerajaan masih tidak berminat untuk berbuat demikian, maka sokongan kaum India kepada MIC dan Barisan Nasional akan terus merosot lagi.